Merawat Orang lain dan Dirawat

Beruntunglah mereka yang menyucikan jiwa mereka.

Friday, June 8, 2012

Yang Terbaik bukan Terbanyak

Assalamualaikum wbt.

     Si A menunaikan solat sunat sebanyak 20 rakaat sewaktu Qiamulail tetapi Si B hanya mengerjakan 8 rakaat sahaja. Secara zahirnya sudah tentu si A lebih baik berbanding si B. Mampu menunaikan solat sunat lebih banyak berbanding si B. Lebih wara’ dan alim orang kata.

     Namun jika diperhalusi BAGAIMANA ia dilakukan, kemungkinan si B lebih baik. Si B melakukan solat dengan penuh khusyuk, tenang dalam menunaikan rukun solat, tidak tergopoh-gapah, setiap bacaan dalam solat dihayati dan dibaca dengan teliti. Bukan sebutan ‘sok sek sok sek’. Manakala Si A mengerjakannya dengan tergopoh-gapah agar banyak rakaat yang boleh dikerjakan.

 

Dialah yang telah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang terbaik amalnya, dan Dia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun (67:2)


    Jika diperhatikan betul-betul istilah yang digunakan, Allah telah menggunakan istilah Ahsanu (yang terbaik) bukan Aksaru (yang terbanyak). Kenapa?

    Hal ini demikian kerana dalam penerimaan sesuatu ibadah itu Allah lebih mengutamakan kualiti ibadah yang dikerjakan berbanding kuantiti. Yang manakah lebih baik sekiranya duit yang disedekahkan banyak tapi disertai dengan perasaan bangga diri, sombong, dan dahagakan pujian dibandingkan dengan mereka yang menderma semata-mata mengharapkan rahmat Allah?

    Dalam sebuah hadith riwayat An-nasai, Rasulullah telah mengatakan bahawa dihadapannya akan lalu seorang ahli syurga. Hal ini berlaku sebanyak tiga kali dan orang yang sama juga yang lalu dihadapan Baginda. Maka salah seorang sahabat teringin tahu amal apa yang telah dilakukan sehinggakan dijamin oleh baginda bahawa sahabat tadi masuk syurga.

    Maka setelah diselidiki, amal lelaki itu tidaklah banyak mana. Tidak nampak pun sahabat ini bangun untuk berqiamulail dan tiada apa-apa amalan yang istimewa secara zahirnya. Lalu ditanya kepada sahabat ini, apakah yang telah beliau lakukan sehingga dikatakan oleh Rasulullah bahawa beliau adalah ahli syurga.

    Maka sahabat itu menjawab bahawa dirinya tidaklah mempunyai apa-apa amalan yang istimewa melainkan dalam hatinya tidak ada sedikitpun rasa hasad dan bersangka buruk kepada saudara muslim yang lain.

    Lihat. Inilah kualiti yang diinginkan bukan kuantiti yang kita berikan. Oleh yang demikian, perbaiki kualiti amalan kita dalam pada masa yang sama tidak menjadikan kuantiti sebagai tujuan yang lebih utama berbanding kualiti. Namun hal ini tidaklah menidakkan bahawa kualiti dan kuantiti yang seimbang adalah lebih baik. Wallahuálam.

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More